Friday 17 April 2009

SUMBER CERITA ORANG IBAN


MASYARAKAT PERIBUMI SABAH DAN SARAWAK MEMPUNYAI BANYAKCERITA-CERITA RAKYAT YANG MENCERMINKAN NILAI-NILAI BUDAYA MEREKA. BAHASKAN SEJAUHMANAKAH CERITA-CERITA ITU DAPAT DIGUNAKAN SEBAGAI SUMBER SEJARAH BUDAYA MASYARAKAT TERSEBUT. GUNAKAN CONTOH CERITA-CERITA RAKYAT SALAH SATU DARI SABAH ATAUPUN SARAWAK . JELASKAN JUGA MASALAH – MASALAH PENGGUNAAN SUMBER INI SEBAGAI SUMBER SEJARAH.


Pengenalan
Masyarakat peribumi Sarawak khususnya masyarakat Iban mempunyai banyak cerita-cerita yang mencerminkan nilai-nilai budaya mereka. Masyarakat ini amat kaya dengan cerita-cerita rakyat sehingga mampu menarik ramai pengkaji untuk mengkaji sejarah budaya masyarakat Iban. Walaupun cerita rakyat selalu juga disebut sebagai cerita dongeng, namun tidaklah sama kalau kita menganggapnya sebagai dongeng semata-mata, sebaliknya kita harus memandang cerita itu dari kaca mata golongan yang melahirkan cerita itu. Ini disebabkan kesusasteraan rakyat adalah cetusan daya sasteramanusia yang spontan dan pancaran fikiran yang spontan juga, selain itu bagi mereka seni sastera adalah sesuatu yang harmoni dengan kehidupan mereka. Sastera rakyat merupakan cerminan kehidupan masyarakat Iban iaitu tentang kepercayaan adat dan pandangan hidup mereka.George Leferve menggunakan istilah sejarah dari bawah bagi merujuk penulisan mengenai orang yang tiada nama, tiada kepentingan dalam politik dan kumpulan yang tiada nama. Kenyataan beliau sebenarnya merujuk kepada masyarakat Iban kerana mereka bukanlah suku bangsa yang melahirkan cerita-cerita untuk kepentingan tertentu, malahan cerita-cerita rakyat mereka boleh dijadikan sebagi sumber sejarah yang utama yakni mengenai kehidupan mereka. Masyarakat ini pada asasnya merupakan penduduk di kawasan pedalaman yang berpindah-randah, tetapi tinggal berdekatan dengan sungai yang merupakan nadi pengangkutan dan sumber perikanan yang penting. Masyarakat Iban tidak meninggalkan sumber sejarah konvesional seperti sumber bertulis,bagaimanapun mereka telah menzahirkan pemikiran dalam bentuk cerita-cerita rakyat.Oleh itu, sejarah budaya mereka dapat dikaji menerusi cerita-cerita rakyat. Malahan, cerita rakyat juga boleh dijadikan bahan untuk mengkaji budaya dan masyarakatnya.Cerita rakyat Iban Cerita rakyat Iban boleh dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu cerita berhubung dengan penjelmaan binatang kepada manusia, hubungan manusia dengan orang mati, hubungan manusia dengan roh mahupun hantu, dan cerita-cerita lain termasuklah cerita asal-usul. Kesemua cerita ini boleh dihubungkan dengan sistem kepercayaan mahupun agama masyarakat Iban. Setiap cerita menerangkan tentang adatistiadat,kegiatan ekonomi, kepercayaan, pemikiran dan world view mereka.Perkara pertama yang harus dikaji tentang masyarakat ini adalah tentang kehidupan mereka. Mereka merupakan masyarakat yang tinggal di rumah panjang seperti yang dijelaskan dalam cerita Meludai iaitu rumah yang diketuai oleh Meludai itu mempunyai lima puluh pintu ataupun lima puluh keluarga yang tinggal di rumah itu.Cerita ini menjadi bukti terpenting tentang kehidupan masyarakat ini yang tinggal di rumah panjang, khususnya tentang bilangan isi rumah. Rumah panjang boleh disamakan dengan konsep kampung kerana mempunyai bilangan isi rumah yang ramai. Malahan kehidupan mereka amat bergantung kepada sumber alam semulajadi yakni hutan. Perkara ini di sebut dalam cerita Meludai yakni apabila Meludai bercadang hendak pergi berburu supaya ada daging untuk dijadikan sebagai bekalan semasa mereka sedang menuai padi nanti. Perkara ini mengambarkan bahawa hutan merupakan suatu sumber terpenting bagi masyarakat ini khususnya sumber protein. Hutan merupakan nadi kepada kehidupan masyarakat ini kerana hutan membekalkan sumber makanan kepada masyarakat ini. Selain itu, dalam masyarakat ini terdapat organisasi sosial, ketua masyarakat ini adalah tuai rumah. Tuai rumah bertanggungjawab terhadap pentadbiran undang-undang, sosial dan adat sesebuah rumah panjang. Tuai rumah ini bertanggungjawab keatas pelawat, ini dibuktikan dalam cerita Meludai apabila Meludai berkeras juga hendak berhuma kerana beliau bertanggungjawab untuk melayan tetamu khususnya yang berkaitan dengan makanan. Tuai rumah orang yang paling penting dalam rumah panjang yakni berkuasa dalam rumah panjang. Misalannya, dalam cerita ini, Meludai bersama dengan anak-anak buahnya telah pergi mengayau12 untuk membalas dendam atas kematian isteri dan anak-anaknya.Ini menunjukkan bahawa tuai rumah merupakan individu yang terpenting dalam hieraki sosial masyarakat Iban dan tanggungjawabnya adalah untuk menjaga keselamatan kaumnya. Tuai rumah boleh disamakan dengan jawatan penghulu dalam masyarakat Melayu tradisional kerana fungsi mereka hampir sama terutama sekali dalam konteks pentadbiran yakni menjaga kebajikan anak buah.Masyarakat Iban amat mempercayai alamat-alamat mahupun petanda-petanda tertentu daripada binatang. Menurut Benedict Sandin, orang Iban sangat yakin dengan tilikan yang dikatakan sebagai tanda daripada tuhan mereka.Peranan ini didokong oleh tuai burung yang akan melakukan upacara beburung. Misalnya dalam cerita Meludai, peranan seorang tua yang bernama Aki Angum Gua dalam mentafsir alamat-alamat daripada binatang amat penting kerana tafsirannya bakal menentukan masa depan Meludai.Masyarakat Iban amat mempercayai setiap tafsiran alamat yang dibuat oleh tuai burung kerana tafsiran itu bakal mempengaruhi kehidupan mereka pada masa hadapan. Jikalau mereka ingkar dengan tafsiran tersebut, mereka akan menerima nasib seperti Meludai apabila meninggalkan keluarganya di rumah telah menyebabkan kematian isteri dan dua orang anaknya. Kepercayaan mereka terhadap alamat atau petanda daripada burung dan binatang tertentu amat penting khususnya semasa membuka ladang atau berhuma. Ini disebabkan kehidupan mereka dikelilingi oleh binatang buas mahupun musuh, oleh sebab ingin mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, mereka perlu patuh kepada tafsiran tuai burung. Kehidupan masyarakat ini amat bergantung kepada pertanian khususnya penanaman padi huma. Padi huma merupakan sumber penghidupan bagi mereka, perkara ini dibuktikan melalui cerita Bandan Berpindah ke Sebayan. Bandan terpaksa pergi ‘madi’ apabila mereka tidak mendapat padi yang cukup untuk dimakan selama setahun. Selain itu, kepentingan padi huma turut dipaparkan dalam cerita Puteri Rusa iaitu padi huma yang ditanam telah dimakan oleh rusa. Apabila padi huma dimakan oleh rusa, maka hasil untuk tahun itu berkurangan, seterusnya menyebabkan mereka kekurangan padi pada tahun itu. Penanaman padi huma merupakan nadi penggerak kepada kehidupan masyarakat ini, penanaman padi huma sebenarnya mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka yang sering berpindah-randah. Ini disebabkan oleh penanaman padi huma dilakukan secara berulang kali di tempat yang sama telah menyebabkan kesuburan tanah tersebut merosot sehingga memaksa masyarakat ini berpindah mencari kawasan baru yang lebih subur. Perkara ini menjelaskan tentang sebab utama masyarakat ini mengamalkan pertanian pindah. Seterusnya adalah tentang sistem kepercayaan masyarakat Iban. Mereka mengamalkan amalan animisme dan setiap kepercayaan mereka dipengaruhi oleh alam semulajadi. Mereka mendiami kawasan hutan rimba yang keadaan keselamatannya tidak menentu, memang wajarlah jika terdapat kepercayaan yang boleh memberikan suasana harmonis dengan alam dan roh. Keadaan persekitaran seperti inilah yang telah membentuk kepercayaan masyarakat Iban, kebanyakan dewa mereka dikaitkan dengan kehidupan seharian terutama sekali kegiatan harian mereka. Misalnya, kepercayaan mereka kepada Pulang Gana. Mereka akan melakukan upacara pemujaan yang ditujukan kepada roh kesuburan, jika upacara ini tidak dilakukan maka padi tidak akan menjadi dan masyarakat ini akan kebuluran.Hari Gawai merupakan upacara adat bagi tujuan ini. Ini menjelaskan tentang kepentingan upacara ini khususnya dalam meneruskan survival masyarakat ini, pemujaan ini dilakukan demi kepentingan lahiriah yakni memperolehi makanan. Kepercayaan ini bukanlah suatu bentuk keagamaan kerana bagi masyarakat Iban tidak terdapat bentuk pemujaan yang berkonsepkan rohaniah. Ini disebabkan kesemua pemujaan berbentuk lahiriah seperti pemujaan Pulang Gana semasa hari Gawai. Mereka mempercayai tentang Aki Lang Menaul Nyakai atau Singgalang Burung iaitu dewa yang paling berkuasa yang merupakan dewa perang dan asas kepada semua adat. Sebanyak tujuh jenis burung ( menantu kepada Singgalang Burung) selalu hadir dalam semua upacara budaya dan ritual pengubatan yang dijalankan oleh orang Iban. Burung ini melambangkan penghormatan masyarakat Iban terhadap alam semulajadi.Oleh sebab itu, mereka selalu mengaitkan burung dengan petanda ataupun alamat. Tuai burung yakni Aki Angum Gua dalam cerita Meludai menilik berdasarkan alamat yang dijelaskan oleh Meludai. Burung atau binatang lain boleh memberi petanda baik atau buruk kepada orang Iban. Mereka mempercayai tafsiran tuai burung kerana beranggapan
kehidupan mereka dipenuhi dengan kekaburan khususnya yang berkaitan dengan masa hadapan. Oleh itu, tafsiran ini amat penting dalam menentukan masa hadapan seseorang khususnya berkaitan dengan pertanian mahupun kehidupan mereka. Jika tafsiran itu berkaitan dengan sesuatu bencana, maka mereka akan lebih berhati-hati supaya tidak menjadi seperti Meludai yang mengingkari pesanan Aki Angum Gua.
Selain itu, corak kehidupan masyarakat ini yang sering berpindah-randah sebenarnya berkaitan dengan satu lagi kepercayaan iaitu legaran burung. Semua perlakuan burung ini seperti bunyi, cara legaran penerbangan, dan pergerakan-pergerakan lain yang dianggap membawa petanda yang mesti dihormati kerana tindakan orang di rumah panjang ditentukan oleh tanda-tanda ini.Dalam cerita Uging telah disebutkan tentang perbuatan orang Iban meninggalkan rumah panjang kerana burung telah memasuki rumah mereka.28 Perbuatan mereka meninggalkan rumah panjang telah membuktikan bahawa burung merupakan alamat yang amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat ini kerana mereka tidak mahu ditimpa bencana. Selain itu, kepercayaan kepada burung sebenarnya merupakan antara beberapa sebab masyarakat ini asyik berpindah-randah. Legaran burung akan ditafsir oleh tuai burung, jika legaran tersebut memberi tanda mereka perlu berpindah, maka mereka perlu berpindah. Perkara inilah yang menyebabkan berlakunya konsep pindah dalam masyarakat ini. Manakala, dalam cerita Ngumbang dan Berenai terdapat kepercayaan tentang Menoa Sebayan.29 Mereka mempercayai bahawa manusia yang berada di Sebayan akan melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan di dunia, misalannya dalam cerita ini terdapat peristiwa lelaki sedang bertikam dan jatuh dari pokok kerana mereka mati disebabkan melakukan perkara tersebut.30 Ini menjadi bukti bahawa masyarakat ini mempercayai kehidupan selepas mati. Selain itu, mereka beranggapan kehidupan selepas mati menyerupai kehidupan di dunia. Walaupun begitu, mereka mempercayai kehidupan di Sebayan mempunyai beberapa perbezaan dengan kehidupan di dunia misalnya tidur pada waktu siang. Cerita ini merupakan pemikiran kreatif masyarakat Iban tentang konsep kehidupan selepas mati dan mencerminkan kepercayan tentang adanya kehidupan selepas mati. Selain itu, mereka mempercayai manusia yang hidup hanya dapat melihat atau bertemu dengan semangat dan roh hanya melalui mimpi. Orang Iban percaya bahawa sebelum semua upacara berhubung dengan kematian disempurnakan, semangat orang mati sentiasa berkeliaran dan kembali rumah tempat tinggalnya dahulu, sebelum kematian (bagi yang sakit kuat) semangatnya dapat dipanggil pulang dan dimasukkan kembali kedalam tubuhnya. Kepercayaan mereka kepada semangat dan alam kematian merupakan suatu interpretasi kepada kematian kerana kewujudan cerita seperti Ngumbang dan Berenai adalah untuk mengurangkan perasaan takut masyarakat Iban kepada kematian. Mereka turut mempercayai bahawa manusia itu boleh hidup kembali seperti dalam cerita Ngumbang dan Berenai yakni Berenai yang telah mati dapat dihidupkan semula dengan upacara belian.Kehidupan selepas kematian merupakan suatu perkara yang sangat penting bagi masyarakat ini kerana kewujudan cerita ini memberi gambaran kepada anggota masyarakat tentang corak kehidupan di Sebayan. Masyarakat Iban merupakan masyarakat yang kaya dengan adat. Antara adat yang boleh dikaji daripada cerita rakyat ini adalah seperti adat mengayau, adat mengayap, dan adat ngetas ulit. Adat mengayau merupakan simbol kepahlawan bagi seseorang lelaki Iban. Sasaran ‘ngayau’ adalah musuh mereka. Setiap kepala yang berjaya dipenggal akan menambahkan semangat dalam diri seseorang, semakin banyak kepala yang dipenggal semakin kuat orang tersebut. Adanya roh ini akan membawa tuah bukan sahaja kepada orang tersebut malah kepada keluarga dan kelompoknya. Adat ini telah dinyatakan dalam cerita Tedung Berkahwin dengan Kenyalang Bongsu, mengikut ceritanya Tedung bersama kawannya iaitu Kumpang merupakan orang yang berani dan bercadang hendak mengayau ke negeri Kantu. Selain itu dalam cerita Meludai terdapat juga aktiviti mengayau. Aktiviti mengayau bukanlah suatu bentuk keganasan seperti yang diutarakan oleh keluarga Brooke, adapt ini merupakan manefetasi kepada sifat kepahlawan masyarakat Iban. Masyarakat Iban melakukan adat mengayau adalah bersandarkan kepada penghormatan yang bakal diterima kerana orang yang paling gagah adalah orang yang paling banyak memenggal kepala musuh. Kepala musuh menurut mastarakat ini merupakan semangat, jika seseorang memenggal banyak kepala maka dia mempunyai banyak semangat dalam dirinya. Selain itu, masyarakat ini mempercayai masyarakat binatang hidup seperti manusia Iban juga. Binatang itu boleh bertukar rupa menjadi manusia jika mereka berhubung dengan manusia dan dengan mudah dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan manusia. Contoh ini boleh dilihat dalam cerita Puteri Rusa yakni seekor rusa boleh menjelma menjadi seorang puteri yang jelita.Selain itu, dalam cerita Tedung Berkahwin dengan Puteri Bongsu yang menyatakan kenyalang telah menjelma menjadi seorang perempuan yang cantik.Bagi mereka, jika berkahwin dengan binatang bukanlah suatu keganjilan.Kepercayaan ini bersangkutan dengan kehidupan mereka yang tinggal di kawasan hutan belantera, jadi tidak mustahil jika cerita-cerita ini adalah usaha untuk mengharmonikan hubungan antara masyarakat Iban dengan alam semulajadi. Binatang seperti burung kenyalang, rusa, ikan belida, dan babi dianggap sebagai suci dan mempunyai kesaktian yakni menjelma menjadi perempuan yang cantik. Selain itu, cerita Tedung Berkahwin dengan Kenyalang Bongsu terdapat larangan membunuh atau memakan burung kenyalang.Perkara ini menjadi suatu tradisi hingga ke hari ini iaitu masyarakat Iban tidak akan memakan binatang tertentu misalnya burung kenyalang. Masyarakat Iban amat mementingkan zuriat khususnya anak lelaki. Terdapat beberapa cerita yang memaparkan tentang wira Iban berkahwin dengan binatang dan memperoleh anak lelaki. Misalnya, dalam cerita Medang Gila Mengail iaitu Medang dikurniakan seorang anak lelaki setealah mengahwini Bongsu Ikan Belida. Selain itu, dalam cerita Meludai dikisahkan tentang anak Meludai yang melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Sampar yang gagah sehingga tidak pernah tewas semasa pergi mengayau. Cerita ini telah membuktikan pemikiran masyarakat Iban amat mementingkan anak lelaki yang digambarkan sebagi pahlawan yang gagah. Oleh sebab itu, kebanyakan cerita ini terutama sekali apabila wira Iban berkahwin dengan binatang akan melahirkan anak lelaki kerana anak lelaki merupakan pewaris kepada adat ‘ngayau’. Oleh sebab itu, anak lelaki merupakan lambang kepahlawanan masyarakat Iban. Terdapat beberapa cerita yang memaparkan tentang alat perhiasan perempuan. Cerita ini menjadi sumber rujukan untuk mengetahui alat yang digunakan oleh kaum hawa. Misalnya, dalam cerita Tedung Berkahwin dengan Kenyalang Bongsu terdapat cerita tentang ‘rawai’ yakni alat perhiasan untuk wanita, biasanya diperbuat daripada perak atau rotan dan dipakai di bahagian dada hingga ke pinggang. Manakala, dalam cerita Ngumbang dan Berenai diceritakan tentang ‘lampit’ iaitu tali pinggang yang diperbuat daripada perak dan digunakan oleh kaum wanita. Budaya masyarakat Iban dapat dikaji hanya melalui cerita rakyat khususnya berkaitan dengan perhiasan wanita. Perhiasan yang dihasilkan membuktikan masyarakat ini mempunyai tahap kesenian yang boleh dibanggakan kerana mampu menghasilkan perhiasan untuk wanita terutama sekali daripada perak.

MASALAH PENGUNAAN SUMBER INI SEBAGAI SUMBER SEJARAH
Masyarakat Iban pada masa ini merupakan masyarakat yang belum mencapai tamadun yang tinggi atau masih buta huruf, sememangnya sasteranya dalam bentuk lisan. Sumber lisan merupakan sumber utama bagi sejarah dari bawah. Hal ini berbeza dengan sejarah konvesional yang bersumberkan dokumen. Sumber yang digunakan sering kali menjadi perbahasan kerana sumber lisan kemungkinannya mempunyai beberapa versi sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengkaji. Misalnya, cerita tentang binatang pergi menuba ikan mempunyai tiga versi yang berbeza yakni masyarakat Bidayuh mempunyai dua versi dan masyarakat Iban mempunyai satu versi. Keadaan seperti ini akan menimbulkan pentafsiran yang berbeza disebabkan terdapat berbagai-bagai versi mengenai sesebuah sastera rakyat. Masalah kedua iaitu sumber naratif rakyat. Kebanyakan sumber sastera rakyat adalah berbentuk sumber naratif, untuk mentafsirkan nilai-nilai budaya dalam perspektif sejarah, seorang sejarawan budaya perlu bantuan daripada disiplin ilmu yang lain.Sebenarnya, sumber naratif rakyat sukar untuk dibuktikan kebenarannya terutama faktafakta yang terkandung dalam cerita rakyat. Fakta yang ditafsirkan adalah berdasarkan sumber lisan, ini menyukarkan sejarawan budaya untuk menapis fakta yang sebenarnya. Ia tidak sama dengan pandangan Leopold Von Ranke bahawa sejarah itu harus dikaji seperti yang sebenarnya yang berlaku.Fakta-fakta sejarah sepatutnya adalah jelas dan diketahui sumbernya, selain itu sumber sejarah perlu menggunakan sumber bertulis. Perkara inilah yang telah membingungkan para sejarawan budaya kerana sastera rakyat adalah berbentuk naratif yang diceritakan secara lisan. Antara keraguan yang timbul adalah tokok tambah dalam sesebuah cerita yang ditambah oleh pencerita, penambahan ini telah menyebabkan cerita itu mempunyai pelbagai versi, seterusnya menimbulkan keraguan kepada sejarawan budaya untuk memilih cerita yang paling tepat. Masalah ketiga iaitu pemikiran rakyat dalam budaya mereka. Persoalan yang kerap menghantui para sejarawan adalah tentang pemikiran rakyat yang hidup dalam tahap tertentu dapat dinilai, sedangkan ia tidak mempunyai criteria ukuran tertentu.Pemikiran adalah bersifat subjektif. Kebenaran dalam sejarah subjektif sifatnya.Tafsiran sejarawan budaya kebiasaanya bersifat subjektif kerana sumber sastera rakyat adalah dalam bentuk cerita yang mengandungi pemkiran masyarakat. Tafsiran terhadap pemikiran merupakan suatu usaha yang sukar kerana memerlukan sejarawan untuk menguasai budaya masyarakat itu. Sejarawan perlu memahami budaya sesebuah masyarakat sebelum mengkaji pemikiran mereka.

KESIMPULAN
Masyarakat Iban merupakan kelompok masyarakat yang mengabadikan pemikiran mereka dalam bentuk cerita rakyat. Walaupun, nilai-nilai budaya merekaberfungsi sebagai pedoman hidup, konsep dan sifatnya adalah sangat umum, memiliki ruang lingkup yang sangat luas, dan biasanya sukar untuk diterangkan secara rasional dan nyata.Ini membawa maksud pemikiran masyarakat Iban merupakan sejarah budaya masyarakat tersebut yakni segala yang terkandung dalam cerita-cerita rakyat ini mencerminkan pegangan dan kepercayaan mereka. Sejarah budaya merupakan pandangan hidup sekelompok orang. Sejarah masyarakat Iban juga merupakan sejarah budaya dan pemikiran. Bagi seorang Pengkaji yang paling penting adalah legenda dan memerate menjadi petunjuk yang zahir tentang aspek-aspek budaya yang penting seperti kepercayaan, pengetahuan, world view, dan nilai-nilai budaya. Jikalau cerita rakyat tidak wujud, maka tiadalah sumber sejarah yang boleh dirujuk khususnya dalam aspek masyarakat Iban. Cerita rakyat mereka merupakan sumber inspirasi yang ditujukan kepada masyarakat itu sendiri. Sejarah bawahan sangat penting khususnya dalam menerangkan kisah-kisah masyarakat yang dipinggirkan oleh sejarah konvesional seperti masyarakat Iban.

BIBLIOGRAFI
Badriyah Haji Salleh dan Tan Liok Ee (peny.), 1996, Alam Pensejarahan Dari Pelbagai
Perspektif, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamilah Haji Ahmad dan Jonanthan Singki, 1989, Cerita Rakyat Iban, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm xxvi.

John W.Berry, 1999, Psikologi Lintas-Budaya: Riset dan Aplikasi ( Edi Suhardono,
Terjemah), Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.

Koentrjaraningrat, 1996, Pengantar Antropologi 1, Jakarta: PT Rineka Cipta.

Mohd. Yusof Ibrahim, 1997, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 213.

Mohd. Taib Osman, 1988, Bunga Rampai Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Taib Osman (peny.), 1991, Pengkajian Satera Rakyat Bercorak Cerita, K
ualaLumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaini Ozea, 1988 ,Analisis Isi Cerita-Cerita Rakyat di Sarawak, dalam Hamzah Hamdani
(peny), Wajah Sastera Sarawak, (hlm 15-29), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

No comments:

Post a Comment