Sunday 26 April 2009

negara bangsa malaysia

PENGENALAN


Konsep negara bangsa berasal dari Eropah sejak abad ke -19, ianya mula berpengaruh di Asia Tenggara pada abad ke-20 khususnya semasa era pendudukan Jepun. Kemunculan negara bangsa di Eropah telah membawa perubahan bukan sahaja di Eropah malahan telah membawa perubahan kepada negara-negara di Asia Tenggara hasil daripada proses imperialisme yang telah dijalankan oleh kuasa-kuasa Eropah. Negara bangsa menekankan konsep hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dengan mewujudkan satu bangsa dalam sebuah negara dengan sejarah, bahasa, budaya dan undang-undang yang dikongsi bersama oleh semua individu yang menjadi warganegara.[1] Konsep negara bangsa mempengaruhi kekuatan dan kelemahan negara Indonesia.


KONSEP NEGARA BANGSA

Suatu pemikiran politik moden yang berasaskan kepada persamaan dikalangan majoriti ahlinya dalam beberapa aspek penting termasuk rumpun etnik, bahasa, sosio-budaya dan pengalaman sejarahnya yang sama. Pembentukan negara bangsa juga dibantu oleh perkembangan bahasa kebangsaan sesebuah negara. Prinsip yang mengutamakan sosio-budaya masyarakat yang terbesar dalam sesebuah unit politik dan keperluan mengasimilasikan masyarakat minoriti ke dalam sosio-budaya masyarakat majoriti. Walau bagaimanapun, idea penubuhan negara bangsa muncul setelah Jepun berundur dan kuasa Eropah kembali ke Asia Tenggara. Negara bangsa menekankan konsep hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dengan mewujudkan suatu bangsa di dalam sebuah negara dengan persamaan sejarah bahasa, budaya dan undang-undang dikongsi bersama oleh semua individu yang menjadi warganegara tersebut.[2]


INDONESIA

Indonesia merupakan sebuah negara Republik yang berdaulat. Negara ini merupakan sebuah negara kepulauan yang bertaburan iaitu dari longgitud 95 darjah kepada 125 darjah dan latitud 6 darjah utara kepada 10 darjah selatan.[3] Republik Indonesia telah menggunakan konsep negara bangsa untuk menyatukan rakyat. Republik Indonesia mencapai kemerdeka pada 17 Ogos 1945.[4] Sukarno telah dilantik sebagai Presiden Indonesia yang pertama manakala Mohammad Hatta pula sebagai naib Presiden. Pemerintahan yang diterajui oleh Sukarno melaungkan slogan Indonesia, satu negara, satu bangsa dan satu bahasa. Indonesia mengamalkan konsep negara bangsa untuk menjamin keselamatan dan kemakmuran negara bagi menghadapi cabaran luar dengan cara bersatu. Bangsa Indonesia menggunakan sosio-budaya masyarakat terbesarnya sebagai ciri jati diri kebangsaan. Disamping itu, dasar asimilasi juga turut digunakan supaya dapat melahirkan rakyat yang bersatu dari aspek sosio budaya mereka.


PRINSIP PANCASILA

Prinsip Pancasila merupakan falsafah asas dalam Perlembagaan Indonesia pada 1 Jun 1945.[5] Perkataan Pancasila berasal daripada dua perkataan bahasa sanskrit iaitu panca bererti lima manakala sila pula bererti prinsip atau asas. Terdapat Lima prinsip asas Pancasila. Pertama ialah Nasionalisma iaitu sebuah negara yang bersatu multiracial. Keduanya ialah Internasional iaitu masyarakat negara berdaulat yang sama taraf. Seterusnya ialah Demokrasi dan Keadilan sosial ini adalah persamaan status, ekonomi, sosial. Prinsip Pancasila yang terakhir iaitu Agama iaitu kebebasan beragama diberikan kepada setiap warganegara. Prinsip Pancasila diakui oleh semua bangsa Indonesia sebagai satu pegangan hidup. Prinsip ini diambil kira untuk membuat setiap keputusan dan berjaya dalam proses penyatuan setiap bangsa. Prinsip Pancasila juga berkaitan dengan pembinaan sebuah negara. Hal ini dapat dilihat apabila Sukarno mahukan negara yang hendak didirikan adalah “sebuah negara semua untuk semua atau satu buat semua, semua buat satu”.[6] Ini bermaksud semua orang berhak ke atas tanah air Indonesia. Prinsip Pancasila mampu menghimpunkan bangsa yang penuh kemajmukan dalam satu persatuan atau pentadbiran.


KEKUATAN


PERKEMBANGAN BAHASA INDONESIA

Indonesia mampu membentuk satu entiti bangsa melalui penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan. Perkembangan Bahasa Melayu sebagai lingua franca merupakan faktor penyatuan rakyat Indonesia dalam membentuk negara bangsa. bahasa Melayu menjadi asas kepada bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia akan berfungsi sebagai alat komunikasi untuk menyatukan suku-suku dan kebudayaan-kebudayaan di Indonesia. Bahasa Indonesia dapat menyatukan kira-kira lebih 250 bahasa dan dielak yang dituturkan oleh penduduk di Kepulauan Indonesia.[7] Golongan kebangsaan pula menggunakan pendidikan sebagai alat untuk mencapai masyarakat dan budaya seperti yang mereka cita-citakan.[8] Indonesia menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Ini bertujuan untuk menyatukan semua bangsa di semua sekolah di Indonesia serta memperkembangkan lagi penggunaannya. Selain itu, usaha untuk mengembangkan bahasa Indonesia, ia turut digunakan dalam pelbagai jenis penulisan sama ada dalam bidang sastera ataupun dalam bidang-bidang yang lain.[9] Pengunaan bahasa Melayu juga digunakan dalam media massa misalnya surat khabar dan majalah. Kesusteraan dan huruf Cina juga diharamkan. Selain itu, masyarakat Cina Indonesia juga dipaksa membuangkan talian sosio-budaya rumpun bangsanya seperti nama dan bahasa sekiranya mereka ingin menerima hak sebagai rakyat Indonesia. Rakyat Indonesia yang berbangsa Cina yang boleh bertutur bahasa Cina sangat sedikit.[10] Oleh itu, rakyat Cina Indonesia berjaya diasimilasikan dalam kehidupan rakyat Indonesia.


PENYATUAN BANGSA INDONESIA

Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai di Asia Tenggara. Penyatuan bangsa pelbagai suku kaum yang berbeza sangat penting dalam usaha pembinaan negara bangsa selepas merdeka. Bagi mewujudkan penyatuan bangsa di Indonesia, masyarakat Cina juga dipaksa membuang tali sosio budaya rumpun bangsa seperti nama dan bahasa sekiranya mereka ingin menerima hak kerakyatan Indonesia. Penyatuan bangsa Indonesia merupakan satu dasar Wawasan Nusantara. Wawasan Nusantara merupakan cara pandang bangsa Indonesia yang merupakan inti dasar budaya Indonesia. Ia juga merupakan asas falsafah prinsip Pancasila serta keadaan dan kedudukan geografi. Dengan adanya Wawasan Nusantara, bangsa Indonesia menjadi satu bangsa walaupun hidup berselerakan di 1700 pulau-pulau dengan pelbagai suku kaum. Keadaan ini dapat meningkatkan lagi semangat negara bangsa.[11] Wawasan Nusantara merupakan dasar dinamik bangsa Indonesia dalam usaha mencapai tujuan kebangsaan. Keharmonian dan kesejahteraan dalam perhubungan kaum ini amat penting untuk mengekalkan kesejahteraan hidup bermasyarakat.


PENYATUAN KEBUDAYAAN KEBANGSAAN INDONESIA

Kebudayaan Indonesia bermaksud hasil atau kegiatan penciptaan akal budi manusia. Indonesia merupakan sebuah negara yang berbentuk Republik. Konsep Wawasan Nusantara ialah menyatukan wilayah Indonesia. Laut Nusantara bukan lagi sebagai pemisah, tetapi sebagai pemersatu bangsa Indonesia yang dikenali sebagai wilayah kedaulatan mutlak Negara Kesatuan Republik Indonesia. Wawasan Nusantara adalah cara pandangan bangsa Indonesia terhadap rakyat, bangsa dan wilayah negara Kesatuan Republik Indonesia yang meliputi darat, laut dan udara di atasnya sebagai satu kesatuan politik, ekonomi, sosial, budaya dan pertahanan keamanan.[12] Wawasan Nusantara atau singkatannya Wasantara merupakan cara pandang bangsa Indonesia berdasarkan prinsip Pancasila dan undang-undang dasar 1945 tentang diri dan lingkungannya. Unsur-unsur dasar Wasantara ialah satu kesatuan wilayah, satu kesatuan bangsa, satu kesatuan budaya, satu kesatuan ekonomi dan satu kesatuan hankam. Pemerintahan berdasarkan kedaulatan rakyat turut menentukan corak kebudayaan Indonesia. Menurut Wawasan Nusantara, dalam membina kebudayaan kebangsaan Indonesia, semua seni budaya daerah mempunyai peranan yang sama.[13] Ia tidak membezakan kewujudan seni daerah dan seni budaya antara satu sama lain. Satu manifestasi seni budaya yang sememangnya bagus dan boleh di terima oleh semua bangsa maka ia boleh menjadi bentuk kebudayaan kebangsaan. Menurut Wawasan Nusantara, konsep budaya ialah tidak ada tempat bagi sesuatu budaya dalam daerah yang dominan. Ini bermaksud semua seni budaya daerah dapat memberikan sumbangan ke arah pembinaan suatu kebudayaan nasional.[14] Ini membuktikan bahawa walaupun Indonesia terdiri daripada pulau-pulau, melalui Wawasan Nusantara pulau-pulau di Indonesia dapat disatukan, menyatukan bangsa dan negara secara utuh serta menyeluruh yang mencangkupi semua aspek iaitu ekonomi, politik, dan sosio-budaya.


PENDIDIKAN

Sistem pendidikan di Indonesia adalah berbentuk seragam. Hal ini dapat dilihat apabila sistem pendidikan di Indonesia disatukan di bawah satu sistem pendidikan yang sama. Bahasa pengantar yang digunakan di sekolah rakyat sehingga di sekolah tinggi adalah bahasa Indonesia.[15] Sistem pendidikan tinggi tertumpu di Jawa dan sesiapa yang ingin melanjutkan pelajaran terpaksa datang ke Jawa dari pulau-pulau di luar dari situ[16]. Pada keseluruhannya Jawa menjadi pusat pendidikan Indonesia yang mewakili keseluruhan gugusan kepulaun Indonesia. Contohnya, semua kaum yang berbeza menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan moden. Oleh itu, semua kaum di Indonesia mempelajari bahasa yang sama iaitu bahasa Indonesia.[17] Pendidikan juga dijadikan sebagai alat untuk membangkitkan semangat persamaan dan kekitaan di kalangan rakyat Indonesia melalui bahasa dan budaya bagi menanamkan kesedaran terhadap jati diri yang sama. Selepas kemerdekaan, Republik Indonesia memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan sebagai alat untuk membangkitkan semangat bersatu padu di kalangan penduduk Indonesia yang pelbagai kaum.

KELEMAHAN


KECELARUAN IDEOLOGI

Apabila wujud ideologi yang berbeza mengenai prinsip Pancasila maka konsep negara Islam sebagai agama rasmi semakin terancam. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya kecelaruan dalam usaha untuk membina identiti bangsa. Dewan Konstitusi 1956 menyebabkan Parti Indonesia terbahagi kepada tiga golongan iaitu aliran agama, aliran kebangsaan dan aliran sosialis. Aliran agama ialah agama Islam, Katolik dan Protestan. Manakala aliran kebangsaan pula adalah berbentuk parti-parti berdasarkan perasaan kebangsaan dan menerima prinsip Pancasila. Seterusnya ialah aliran sosialis iaitu Parti Komunis, Parti Buruh dan Sosialis.[18] Kecelaruan ideologi berlaku apabila wujudnya perbezaan pendapat. Misalnya, perjuagan diantara parti-parti Islam dengan parti kebangsaan mengenai undang-undang pendidikan dan pelajaran. Parti Islam inginkan pendidikan sebagai mata pelajaran teras, sebaliknya pelajaran agama Islam diadakan apabila diminta oleh ibu bapa murid. Undang-undang dasar baru melihat seluruh konstitusi terpecah kepada dua golongan iaitu golongan yang mahukan dasar Pancasila dan golongan yang mahukan dasar Islam. Jumlah parti yang banyak di dalam parlimen menyebabkan tidak dapat membentuk satu pemerintahan yang stabil dan dapat bertahan lebih daripada beberapa bulan.[19]

Kesannya kecelaruan ideologi menyebabkan segala aktiviti pembangunan termasuk aktiviti ekonomi, pendidikan, pembinaan jalan, industri dan sebagainya tidak dapat dijalankan dengan lancar disebabkan penentangan diantara golongan konsitusi yang tidak dapat mencapai kesepakatan. Disamping itu, terlalu banyak aliran-aliran dan organisasi-organisasi politik, memberi kesan kepada sistem demokrasi iaitu menyebabkan pemerintah bertanggungjawab sepenuhnya kepada parlimen. Keadaan ini menyebabkan banyak kesulitan berlaku.[20] Hal ini kerana susunan pegawainya yang lemah, jumlah pegawai yang mempunyai pendidikan sangat sedikit dan tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan sebagai pegawai negeri.


PERTAHANAN LEMAH

Konsep negara bangsa telah mewujudan kelemahan dalam sistem pertahanan. Hal ini disebabkan tidak ada kerjasama dengan negara lain. Selain itu, golongan tentera yang tidak cekap dan terlatih dalam ketenteraan telah mewujudkan konsep bapakisme iaitu tentera mempunyai kuasa bebas.[21] Di Indonesia, wujud juga golongan tentera yang ramai. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan berlaku masalah kewangan. Pemberontakkan dalaman juga turut melemahkan pertahanan negara. Contohnya, pemberontakan diantara Sumatera dan Sulawesi pada tahun 1958 yang bersifat anti Jawa dan anti Komunis. Tentera Indonesia menewaskan gerakan di kedua-kedua wilayah tersebut. Namun, Jawa muncul lebih berpengaruh dari masyarakat lain.[22]


SISTEM EKONOMI

Konsep negara bangsa di Indonesia telah mengubah sistem ekonomi dan melemahkan keadaan ekonomi. Konsep ini telah menggugat kestabilan ekonomi Indonesia. Ha ini kerana dasar pembaratan yang telah dibawa oleh kolonial Belanda telah disalah ertikan oleh para pemimpin. Pada peringkat awal Indonesia mengamalkan sistem ekonomi sosialis namun setelah Presiden Sukarno mengisytiharkan prinsip Pancasila pada 1 Jun 1945 sistem ekonomi Indonesia mengalami perubahan. Merujuk prinsip Panca sila, Indonesia mengamalkan ekonomi sosialisme.[23] Namun keadaan berubah apabila sistem kapitalisme mula diamalkan di Indonesia. Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia dari segi ekonomi menyebabkan hak kesamarataan dan asas kekeluargaan dalam prinsip Pancasila diselewengkan oleh pemerintah.[24] Hatta ingin membangunkan Indonesia sebagai negara perindustrian yang mempunyai ekonomi yang kuat berdasarkan modal-modal asing tetapi Sukarno tidak bersetuju beliau lebih menekankan dasar nasional aktif seperti kempen mendapatkan wilayah Irian Jaya dan dasar kerjasama dengan negara dunia ketiga. Selepas tahun 1997, sistem ekonomi kapitalis semakin meluas di Indonesia. Kegagalan sistem ekonomi disebabkan kegiatan rasuah dan sistem kroni yang semakin berleluasa.[25] Jakarta sangat signifikan dengan rasuah dan berlaku pada semua tahap terutamanya di kalangan ahli politik yang menguruskan lesen import dan eksport. Ahli politik menjadi ahli perniagaan yang berkongsi lesen perniagaan. Lesen ini sepatutnya diberikan kepada pelbagai kaum misalnya orang buka cina, dan orang bukan Erpoah namun lesen ini hanya diberikan kepada ahli perniagaan cina sahaja.

Hal ini menyebabkan persaingan antara parti-parti politik memusnahkan negara terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan beras, garam dan petrol.[26] Indonesia mengalami masalah inflasi yang tinggi pada tahun 1986 menyebabkan nilai rupiah jatuh sehingga 30%. Seterusnya, inflasi ini menyebabkan kejatuhan ekonomi Indonesia dan golongan kaya terus berusaha untuk mengumpul kekayaan untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga[27]. Misalnya, Presiden Sukarno mengambil kesempatan untuk memperkayakan dirinya, keluarganya dan rakan-rakan karibnya melalui kegiatan rasuah yang berleluasa di Republik Indonesia. Pada tahun 1997, Indonesia mengalami krisis kewangan dan ekonomi termasuk kemarau terburuk dalam tempoh 50 tahun menyebabkan harga minyak, gas dan komoditi eksport menurun. Nilai rupiah jatuh seterusnya kadar inflasi semakin meningkat.


PEMISAHAN ISLAM DARIPADA PENTADBIRAN

Presiden Sukarno menekankan usaha untuk mewujudkan satu parti dalam satu negara. Prinsip kerjasama dan demokrasi lebih dikenali sebagai “perundingan dan kerjasama”. Pada tahun 1950 kebanyakkan ahli politik menyokong demokrasi pelbagai parti berdasarkan kepada model daripada Barat.[28] Melalui Undang-undang Dasar 1945 ideologi prinsip Pancasila yang kelima ialah kebebasan beragama iaitu agama berasingan dari politik dan pentadbiran ini memperlihatkan dasar sekular dalam perlembagaan Indonesia. Sukarno telah memilih negara sekular yang berdasarkan prinsip Pancasila sementara beberapa golongan parti Muslim inginkan negara Islam atau undang-undang hukum Islam. Islam menjadi tidak penting dalam negara walaupun 87% dari penduduk Indonesia adalah beragama Islam. Parti-parti politik menerima prinsip Pancasila sebagai satu-satunya ideologi negara. Contohnya, melalui kepercayaan Sukarno sehingga beliau dikatakan bukan seorang muslim, dia adalah jawa. Beliau juga tidak mempercayai tuhan Islam dan lebih mempercayai tuhan takdir. Beliau juga menggangap setiap agama mempunyai cara masing-masing sama ada Kristian, Islam dan Buddha.[29]

Tambahan lagi, Sukarno juga menganggap Islam sebagai satu cara untuk mencapai kemajuan dan bukan ketaatan. Pentadbiran Kementerian Pendidikan terdiri daripada dua sistem iaitu sekolah biasa mementingkan ilmu keduniaan dan agama sedikit, sekolah agama banyak tambahan ilmu keduniaan.[30] Ini membuktikan agama Islam tidak mendapat tempat dalam pentadbiran hanya simbol semata-mata. Ketaksuban para pemimpin kepada konsep prinsip Pancasila menyebabkan wujud perasaan tidak percaya kepada tuhan dan Al-Quran sedangkan Pancasila itu hanya rekaan manusia tetapi dapat mengatasi segalanya.

PERPECAHAN WILAYAH

Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan pada saat kebebasan Irian Barat para pemimpin Indonesia menyedari bahawa retaknya sebuah kesatuan wilayah Indonesia. Indonesia terdiri daripada 17 000 pulau-pulau yang dipisahkan oleh lautan.[31] Bagi mewujudkan negara bangsa Indonesia melancarkan politik luar negeri yang berasaskan ketenteraan dengan tujuan untuk membebaskan Irian Barat.[32] Selain itu, wujud juga konsep persempadanan dan wilayah yang memisahkan kedudukan antara wilayah yang bertujuan untuk memudahkan pentadbiran. Indonesia terbahagi kepada beberapa wilayah dan setiap wilayah tersebut mempunyai pemimpinnya yang tersendiri. Misalnya di Jawa, Acheh, Irian Jaya, Sumatera dan Timor Timur.[33]

Pada tahun 1976, Indonesia dan Timor Timur masih lagi merupakan sebuah wilayah yang bergolak. Sukarno menyatakan pendapat bahawa negara Indonesia yang bersatu hanyalah sebagai retorik. Pada tahun 1969 New Guinea Barat, tanah jajahan Belanda melalui referendum menjadi wilayah Republik Indonesia dengan nama Iran Jaya.[34] Perpecahan wilayah ini menyukarkan pembinaan negara bangsa Indonesia. Hal ini kerana, setiap wilayah mempunyai pemimpinnya yang tersendiri dan mempunyai semangat kewilayahan serta kedaerahan yang sangat kuat. Perpecahan wilayah ini telah menyebabkan Indonesia sedikit demi sedikit kehilangan pengaruh dan kuasanya. Kesannya, negara bangsa Indonesia menjadi semakin lemah.

KONFRONTASI

Mengikut Kamus Dewan konfrontasi dapat didefinisikan sebagai persemukaan diantara dua orang yang bertentangan atau pertentangan secara langsung yang menyebabkan orang atau pihak yang terlibat menghadapi kemungkinan berlakunya pergaduhan.[35] Tambahan lagi, konfrontasi bermaksud pertentangan atau permusuhan secara langsung yang boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan atau peperangan.[36] Semenjak mencapai kemerdeka hubungan Malaysia dengan Indonesia menjadi baik dari segi kebudayaan dan bahasa. Pada tahun 1959, kedua-dua buah negara telah menandatangani perjanjian Persahabatan dan Kebudayaan dengan tujuan merapatkan hubungan antara kedua-dua buah negara serumpun.[37] Namun, hubungan kedua-dua buah negara tidak konsisten hal ini disebabkan berlakunya konflik peribadi dan perbezaan ideologi tentang persoalan antarabangsa yang menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi dingin. Presiden Sukarno terpengaruh dengan fahaman Marxisme dalam ideologi politik dan falsafah. Perbezaan ideologi antara Indonesia dan Malaysia mempengaruhi Sukarno menjalankan kempen konfrontasi. Pada 27 Mac 1961, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan Gagasan Malaysia setelah berbincang dengan Britian tentang Gagasan Malaysia. Oleh itu, konfrontasi tercetus antara Malaysia dengan Indonesia akibat dan ekoran daripada persetujuan Tunku Abdul Rahman dengan Mac Millan untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Sukarno telah lama berkerjasama dengan golongan nasionalis kiri di Malaya dan Brunei bagi membentuk Indonesia Raya.

Hal ini disebabkan oleh hasutan Parti Komunis Indonesia akhirnya 20 Januari 1963, Dr. Subandrio telah membuat pengumuman dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia baik dari segi ekonomi mahupun kemasyarakatan. Tentangan Indonesia akhirnya meluas sehingga timbul pertentangan tentera antara Indonesia dengan Persekutuan dan juga wilayah-wilayah British di Borneo dan Singapura.[38] Indonesia menjalankan kempen konfrontasi dengan Malaysia terutama pada tahun 1963 hingga 1965. Sukarno menentang penubuhan Malaysia dengan melancarkan kempen “Ganyang Malaysia” iaitu hancurkan Malaysia. Oleh itu, hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu diputuskan. Penubuhan Malaysia ini telah menjadi penghalang cita-cita presiden Sukarno untuk mewujudkan Indonesia Raya yang termasuk wilayah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu. Sukarno bercita-cita ingin mewujudkan Indonesia Raya dengan mengabungkan Indonesia dengan Tanah Melayu. Penentangan ini adalah berpunca daripada semangat negara bangsa Sukarno. Indonesia menentang Tanah Melayu walaupun kita serumpun bangsa, bahasa, adat resam dan agama yang sama cuma berlainan wilayah.


KESIMPULAN

Negara bangsa menekankan konsep hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dengan mewujudkan suatu bangsa sahaja dalam sebuah negara dengan persamaan sejarah bahasa, budaya, undang-undang dikongsi bersama oleh semua individu yang menjadi warganegara negara tersebut. Konsep negara bangsa telah berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan bangsa Indonesia. Namun, konsep negara bangsa mempunyai rintangannya dalam proses membangsakan bangsa Indonesia itu sendiri. Jelaslah, membuktikan bahawa konsep negara bangsa di Indonesia mempunyai kekuatan dan kelemahannya dalam konteks sosiobudaya dan sejarah Asia Tenggara.


BIBLIOGRAFI

Abdul Aziz Hitam & Wan Azaham Wan Muhammad. (1988). Sejarah Indinesia Abad Ke Dua Puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Anthony Reid, Terj. Masri Maris. (2005). Asal Mula Konflik Acheh: Dari Perebutan Pantai Timur Sumatera Hingga Akhir Kerajaan Acheh Abad ke-19. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.

Bernhard Dahm. (1987). Seokarno Dan Perjuangan Kemerdekaan. Jakarta: LS3EP.

Decei Fortuna Anwar. (1994). IndonesiaIin Asean, Foregin Policy And Regionalism. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

Fuad Hasan. (1984). Kapita Selekta Manifestasi Budaya Indonesia. Bandung: Tim Lembaga Research Kebudayaan Nasional.

Harold M. Vinade. (1967). Sejarah Timor Jauh Dalam Zaman Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

I. Wibawo. (2000). Harga Yang Harus Dibayar Sketsa Pergelutan Etnis Cina Di Indonesia. Jarkarta: Gramedia Pustaka Utama dengan Pusat Studi Cina.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Leo Suryadinata. (1998). Politik Luar Negeri Indonesia Di Bawah Soeharto. Jakarta: PT Pustaka LP3ES Indonesia.

Mackie J.A.C. (1974). Kofrontasi : The Indonesia-Malaysia Dispute 1963-1966. London: Oxford University Press.

Profil Propinsi Republik Indonesia. (1992). Jakarta : Yayasan Bhakti Wawasan Nusantara.

Sivechandralingam Sundra Raja. (1996). Tamadun Eropah. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

S. Takdir Alisjahbana. (1966). Indonesia Social and Cultural Revolution. Kuala Lumpur: Oxford Universiti Press.

S. Takdir Alisjahbana. (1988). Revolusi Masyarakat Dan Kebudayaan Di Indonesia, Jakarta: Dian Rakyat.

Syed Othman Syed Omar. (1999). Tentera Malaysia Dalam Era Konfrontasi. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tim Lembaga Research Kebudayaan Nasional (LRKN)-LIPI. (1984). Kapita Selekta Manifestasi Budaya Indonesia. Bandung: Penerbit Alumni.

Vickers Adrian. (2005). A History of Modern Indonesia. New York: Cambridge University Press.

Wang Gungwu. (2005). Nation-Building: Five Southeast Asian Histories. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

www.wikipedia.com. (28/02/07)


nota kaki

[1] Sivechandralingam Sundra Raja, Tamadun Eropah, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd, 1996, hlm. 129.

[2] Sivechandralingam Sundra Raja, 1996, hlm. 129.

[3] S. Takdir Alisjahbana, Indonesia Social and Cultural Revolution, Kuala Lumpur: Oxford Universiti Press, 1966, hlm. 1.

[4] Abdul Aziz Hitam & Wan Azaham Wan Muhammad, Sejarah Indinesia Abad Ke Dua Puluh, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1988, hlm. 192.

[5] Bernhard Dahm, Seokarno Dan Perjuangan Kemerdekaan, Jakarta: LS3EP, 1987, hlm. 409.

[6] Ibid. hlm. 410.

[7] S. Takdir Alisjahbana, Indonesia Social and Cultural Revolution, 1966, hlm. 57.

[8] S. Takdir Alisjahbana, Revolusi Masyarakat Dan Kebudayaan Di Indonesia, Jakarta: Dian Rakyat, 1988, hlm. 246.

[9] Fuad Hasan, Kapita Selekta Manifestasi Budaya Indonesia, Bandung: Tim Lembaga Research Kebudayaan Nasional, 1984, hlm. 55.

[10] I. Wibawo, Harga Yang Harus Dibayar Sketsa Pergelutan Etnis Cina Di Indonesia, Jarkarta: Gramedia Pustaka Utama dengan Pusat Studi Cina, 2000, hlm. 41.

[11] S. Takdir Alisjahbana, Indonesia Social and Cultural Revolution, 1966, hlm. 57.

[13] Ibid

[14] S. Takdir Alisjahbana, Revolusi Masyarakat Dan Kebudayaan Indonesia, 1988, hlm. 18.

[15] Tim Lembaga Research Kebudayaan Nasional (LRKN)-LIPI, Kapita Selekta Manifestasi Budaya Indonesia, Bandung: Penerbit Alumni, 1984, hlm.241.

[16] Abd. Aziz Hitam & Wan Azaham Wan Mohammad, Sejarah Indonesia Abad Ke Dua Puluh, 1988, hlm. 189.

[17]Tim Lembaga Research Kebudayaan Nasional (LRKN)-LIPI, Kapita Selekta Manifestasi Budaya Indonesia, 1984, hlm. 50.

[18] S. Takdir Alisjahbana, Revolusi Masyarakat Dan Kebudayaan Di Indonesia, 1988, hlm. 162.

[19] Ibid. hlm. 163.

[20]S. Takdir Alisjahbana, Revolusi Masyarakat Dan Kebudayaan Di Indonesia, 1988, hlm. 164.

[21] Leo Suryadinata, Politik Luar Negeri Indonesia di Bawah Soeharto, Jakarta: PT Pustaka LP3ES Indonesia,1998, hlm. 43.

[22] Harold M. Vinade, Sejarah Timor Jauh Dalam Zaman Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1967, hlm. 1078.

[23] Profil Propinsi Republik Indonesia, Jakarta: Yayasan Bhakti Wawasan Nusantara, 1992, hlm. 275.

[24] Harold M. Vinacke, Sejarah Timor Jauh dalam Zaman Moden, 1967, hlm. 1085.

[25] Mackie J.A.C., Kofrontasi : The Indonesia-Malaysia Dispute 1963-1966, London: Oxford University Press, 1974, hlm. 219.

[26] Vickers Adrian, A History of Modern Indonesia, New York: Cambridge University Press, 2005, hlm. 137.

[27] Ibid, hlm. 135.

[28] Vickers Adrian, A History of Modern Indonesia, 2005, hlm. 121.

[29] Wang Gungwu, Nation-Building: Five Southeast Asian Histories, Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. 2005, hlm. 73.

[30] Abdul Aziz Hitam & Wan Azaham Wan Mohamad, Sejarah Indonesia Abad ke DuaPuluh, 1988, hlm. 193.

[31] Leo Suryainata, Politik Luar Negeri Indonesia Di Bawah Soeharto, 1998, hlm.19.

[32] Decei Fortuna Anwar, IndonesiaIin Asean, Foregin Policy And Regionalism, Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, 1994, hlm. 20.

[33] Anthony Reid, Terj. Masri Maris, Asal Mula Konflik Acheh: Dari Perebutan Pantai Timur Sumatera Hingga Akhir Kerajaan Acheh Abad ke-19, Jakarta: Yayasan Obor Indonesia, 2005, hlm. 303.

[34] Vickers Adrian, A History Of Modern Indonesia, 2005, hlm. 137.

[35] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, 2005, hlm. 814.

[36] Syed Othman Syed Omar, Tentera Malaysia Dalam Era Konfrontasi, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm. 18.

[37] Decei Fortuna Anwar, Indonesia in Asean, Foregin Policy and Regionalism, 1994, hlm. 24.

[38] Syed Othman Syed Omar, Tentera Malaysia Dalam Era Konfrontasi,1999, hlm. 20.

No comments:

Post a Comment